» » 'Bajet RM120 juta dipotong di PPUM jejas rawatan pesakit'


Doktor di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) melahirkan kerisauan berikutan potongan bajet sebanyak RM120 juta bagi hospital itu tahun ini, bimbang ia tidak berupaya memberi rawatan sewajarnya kepada pesakit.

Mereka khuatir penjagaan pesakit akan terjejas selepas bajet hospital pendidikan itu dikurangkan kepada RM387 juta bagi 2015 berbanding RM510 juta tahun lepas.

Sebagai hospital pendidikan, mereka juga bimbang potongan bajet itu akan memberi kesan kepada kualiti pendidikan yang diberikan kepada pelajar perubatan.

Pesakit juga tidak terkecuali khuatir dengan perkara itu, contohnya Sally (bukan nama sebenar), yang bergantung kepada penjagaan kesihatan awam yang jauh lebih murah berbanding rawatan swasta.

Bekas pelayan berusia 21 tahun itu berkata, PPUM merawatnya yang mengalami penyakit mengancam nyawanya sejak 2013, dan mengetepikan bil perubatannya berjumlah RM6,000 ketika itu, kerana dia hilang kerja akibat jatuh sakit.

Tetapi pada Februari tahun ini, beliau menerima "surat merah" mengarahkannya membayar sehingga RM3,000 dalam masa 14 hari, atau menghadapi tindakan undang-undang, katanya kepada The Malaysian Insider.

"Apabila saya tanya kenapa saya kena bayar, hospital kata mereka tak ada duit, jadi mereka tuntut balik jumlah yang saya hutang kepada mereka.

"Jadi, saya berhenti pergi ke hospital itu untuk mendapatkan rawatan kerana takut kena bayar," katanya.

Tetapi, beliau kemudiannya kembali semula ke PPUM kerana tidak tahan lagi menanggung kesakitan.

"Saya sakit sangat dan membuat keputusan untuk pergi ke hospital itu dan merayu mereka membenarkan saya buat bayaran ansuran RM100 sebulan sebab saya benar-benar perlukan rawatan dan ubat," katanya sambil menangis.

Kos lebih tinggi sebagai hospital pendidikan

Dekan Fakulti Perubatan University Malaya (UM) Profesor Dr Adeeba Kamarulzaman memberitahu The Malaysian Insider, PPUM dimaklumkan secara lisan mengenai potongan bajet itu awal tahun ini oleh Kementerian Pendidikan.

Beliau berkata pengurangan bajet itu dijangka memberikan lebih tekanan ke atas keupayaan PPUM menyediakan penjagaan pesakit susulan jangkaan terdapat peningkatan dalam bilangan pesakit yang beralih dari hospital swasta kerana pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) pada 6%.

Tambahan pula, PPUM terpaksa membayar kira-kira RM4 juta GST setiap bulan kepada pembekal.

Ini dijangka memburukkan lagi masalah pembiayaan kronik dihadapi hospital itu, memandangkan ia kini beroperasi di bawah kekangan yang ketat.

Dr Adeeba berkata, PPUM terpaksa berpada dengan bajet yang boleh dikatakan lebih kecil untuk saiz hospital itu, berbanding hospital di bawah Kementerian Kesihatan, sedangkan ia juga perlu memberikan khidmat kepada orang ramai seperti mana-mana hospital kerajaan lain.

Dalam keadaan ini, Dr Adeeba berkata hendak membeli antibiotik yang mahal pun akan menjadi masalah, apatah lagi ubat lebih mahal seperti untuk kemoterapi bagi orang dewasa dan kanak-kanak menghidap kanser.

Beliau berkata, jumlah pesakit di PPUM meningkat 2 kali ganda sejak 2007 hingga 2013, mencapai 1.03 juta tahun lepas.

"Kami masih belum melihat kesan sepenuhnya daripada potongan yang dilakukan baru-baru ini kerana kewangan dalaman kami buat masa ini masih cukup untuk membeli ubat.

"Tetapi, apabila wang itu habis, mungkin dalam suku ketiga tahun belanjawan ini, atau lebih cepat daripada itu, kami akan menghadapi masalah memberi rawatan kepada pesakit,” katanya.

Beliau berkata, PPUM sebagai hospital untuk penjagaan peringkat tinggi, dengan pelbagai unit rawatan rapi dan menyediakan pelbagai perkhidmatan termasuk yang mahal seperti jantung dan neurosurgeri, organ solid dan pemindahan sum-sum tulang.

"Tambahan pula, kami hospital pendidikan memang semulajadinya ada peningkatan kos, contohnya dalam bilik pembedahan. Daripada 3 yang memerlukan gaun steril untuk prosedur tertentu, akan menjadi 5 kerana ada pelajar dan pakar bedah pelatih perubatan, jadi kos akan berganda," katanya.

Perunding pakar sakit puan pakar onkologi Profesor Dr Woo Yin Ling berkata pesakit PPUM membayar lebih daripada mereka di hospital kerajaan lain kerana hospital itu tidak mampu menyerap kos perubatan dan peralatan tertentu.

Beliau memberi contoh, standard kemoterapi untuk kanser ovari, yang diberikan percuma di hospital kementerian tetapi dikenakan caj RM500 satu pusingan di PPUM.

Dr Woo berkata, hospital itu juga berdepan kenaikan harga, terutamanya bagi barangan yang diimport dari Amerika Syarikat dan United Kingdom, menyebabkan terpaksa mengambil langkah menangani keadaan itu dengan menaikkan harga.

Beliau memetik contoh di mana kos setiap sesi radioterapi, yang diberi subsidi, kini meningkat dua kali ganda sementara kadar kemasukan juga meningkat .

"Jadi, tanpa potongan bajet pun, keadaannya sudah berbeza, kerana pesakit yang datang kena membayar untuk banyak perubatan dan perkhidmatan, walaupun ia sebenarnya hospital kerajaan.

"Contohnya, kalau anda datang untuk pembedahan, anda kena bayar untuk stoking anti darah beku dan suntikan untuk menghalang darah beku itu," katanya sambil menambah, kakitangan kerajaan perlu membayar dulu dan membuat tuntutan kemudian.

Membahayakan latihan perubatan

Potongan bajet itu mungkin juga menyebabkan PPUM terpaksa menolak pesakit yang tidak mampu membayar untuk rawatan dan ubat, menyebabkan kes yang dikendalikan makin kurang, dan akibatnya, kualiti pendidikannya juga terjejas.

Perunding pakar kanak-kanak onkologi Profesor Dr Hany Ariffin memberi contoh pesakit talasemia memerlukan pemindahan darah yang kerap, di mana kos darah di PPUM sekarang ialah RM120 sepaket.

Beliau berkata harga yang tinggi itu ialah kerana hospital itu tidak dapat lagi mensubsidi kos proses saringan yang terlibat bagi memastikan darah itu selamat digunakan, dan oleh itu, terpaksa menyandarkan kos itu kepada pesakit.

"Tetapi, walaupun dengan harga itu, hospital ini tidak mampu menanggungnya sekarang dan kami terpaksa menghantar pesakit luar ke hospital kerajaan seperti Ampang dan Sungai Buloh di mana mereka boleh mendapatkan bekalan darah secara percuma," katanya.

Kebimbangannya ialah, jika mereka terus menghantar pesakit ke hospital lain, kualiti pengajaran di PPUM akan terjejas.

"Jika kami terus menghantar pesakit dengan kes yang 'mahal' dan rumit keluar, masa akan datang, kami hanya akan dapat kes yang 'rutin' seperti batuk dan selesema.

"Walaupun 1 daripada 10 rakyat Malaysia pembawa talasemia contohnya, pelajar kami pada kesudahannya mungkin tidak akan dapat satu kes talasemia utama pun satu hari, jika kita terus menghantar mereka keluar," katanya.

Dr Woo berkata pesakit talasemia bukan satu-satunya yang terpaksa ditolak hospital itu - PPUM juga terpaksa menolak kemasukan wanita hamil walaupun mempunyai katil kosong di wad.

Ini kerana, wujud kekurangan dalam bilangan kakitangan kejururawatan walaupun sebuah sayap baru untuk wanita dan kanak-kanak dibuka 3 tahun lalu.

Menunggu penyelesaian

Dr Adeeba berkata, Kementerian Pendidikan menyedari masalah PPUM dan kedua-dua pihak sekarang aktif membincangkan cara untuk memperbaiki keadaan.

Bagaimanapun, katanya, pada masa sama, kerajaan perlu melihat keperluan segera untuk dana yang lebih besar bagi hospital.

Katanya, satu fakta yang diketahui umum seluruh dunia ialah, menjalankan sebuah hospital pendidikan lebih mahal dibandingkan dengan hospital perkhidmatan.

Dr Hany bersetuju, mengatakan mereka hanya memohon bajet yang lebih realistik, memandangkan mereka juga membantu sistem hospital kementerian dengan turut mengendalikan pesakit.

Katanya, walaupun tidak praktikal mengharapkan penjagaan kesihatan di Malaysia percuma sepenuhnya, beliau berharap pada masa akan datang, Malaysia boleh melaksanakan sistem di mana setiap rakyat mempunyai peruntukan sama untuk membayar bil perubatan mereka, dengan mengambil kira peruntukan kerajaan bagi penjagaan kesihatan pada kadar 3.8 % daripada Keluaran Dalam Negara Kasar.

Dr Woo turut bersetuju, sambil menambah mana-mana rakyat Malaysia, sama ada yang pergi ke hospital pendidikan atau hospital kementerian, perlu mendapat akses sama kepada perubatan dan peralatan, dan tidak seharusnya didiskriminasikan apabila mereka mendapatkan rawatan perubatan di mana-mana hospital awam.

sumber


About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .